KOTA KINABALU: Pandemik COVID-19 yang meninggalkan kesan ketara terhadap pelancongan boleh dianggap sebagai peluang kepada Malaysia untuk memikirkan semula masa depan pelancongan negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi.

Menyedari pandemik dan pelbagai krisis akan terus mengganggu pertumbuhan sektor pelancongan, beliau berkata industri pelancongan perlu lebih mampan, inklusif dan kurang terdedah kepada kejutan.

Beliau berkata kementerian telah menyediakan pendekatan untuk meningkatkan pelancongan lestari termasuk mewujudkan pengalaman unik yang memanfaatkan kekayaan berbilang kaum, budaya, seni serta mengekalkan alam semula jadi, eko-pelancongan dan teknologi hijau.

"Apabila kita bercakap tentang kelestarian, kita perlu mengaitkannya dengan (budaya) yang kita ada di negara ini. Kita perlu melindungi, memelihara dan memulihara apa yang kita ada di Malaysia. Kita perlu memikirkan semua yang kita mahu bangunkan, jaga dan mengekalkannya," kata beliau pada sidang media selepas perasmian Persidangan Pelancongan Dunia 2022 di sini pada Isnin.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini itu dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Menteri Kewangan II negeri Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin; Pengarah Serantau Pertubuhan Pelancongan Dunia bagi Asia Pasifik Harry Hwang dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman.

Dianjurkan oleh kementerian dengan kerjasama Pertubuhan Pelancongan Dunia dan kerajaan Sabah, acara tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 1,000 wakil dari lebih 60 negara untuk menyambung dan menilai semula pemulihan pelancongan selepas pandemik di seluruh dunia.

Terdahulu dalam ucapannya, Saraya berkata walaupun menghadapi cabaran ekonomi global pada 2023 dan seterusnya, pakar menjangka permintaan bagi sektor pelancongan akan berterusan di samping peluang pertumbuhan baharu dan pasaran khusus baru muncul akibat pandemik itu.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya yang disampaikan oleh Masidi berkata usaha memperkasakan masyarakat tempatan melalui program Pelancongan Desa Berasaskan Komuniti telah membuahkan hasil dan ia merupakan sektor yang berkembang pesat apabila kerajaan Sabah terus melihat pertumbuhannya yang kukuh di seluruh negeri.

Hajiji berkata pelancongan luar bandar memberi peluang untuk mengembangkan dan menambah baik produk pelancongan berasaskan komuniti melalui peningkatan kemahiran serta peningkatan produk, dan inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan penawaran produk pelancongan negeri tetapi juga meningkatkan kehidupan ekonomi masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Sabah telah berjaya mencatatkan 1.2 juta ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa dari Januari hingga September tahun ini dengan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM2.1 bilion juga merupakan petanda yang baik.

Beliau berkata mulai 5 Dis 2022 hingga 1 Jan 2023, Sabah akan mempunyai tambahan 24 penerbangan antarabangsa setiap minggu dari Taipei (Taiwan), Narita (Jepun), Busan (Korea Selatan) dan Hong Kong yang akan menambah 52 peratus kepada kapasiti tempat duduk antarabangsa semasa.

-- BERNAMA